Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Sebuah portal berita diminta mengemukakan notis permohonan tuntutan maaf kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Gombak dan menarik semula dua artikel yang diterbitkan pada Isnin lalu.

Menurut KPD Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, ketika berada di pejabatnya, beliau telah terbaca dua artikel yang disiarkan dalam versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu menerusi laman web portal berkenaan masing-masing pada pukul 8.06 malam dan 9.18 malam.

“Beberapa kandungan dalam kedua-dua artikel tersebut melaporkan perkara yang tidak benar dan telah memberikan satu gambaran negatif terhadap integriti serta nama baik saya.

“Gambaran persepsi kepada pembaca artikel tersebut seolah-olah saya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah bertanggungjawab sepenuhnya menyebabkan kematian bekas tahanan tersebut.

“Saya telah membuat sidang media rasmi berhubung siasatan kematian Ganapathy Anpalagan pada 30 April lalu di IPD Gombak serta telah memperincikan hasil siasatan setakat hari tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Arifai berkata, sehubungan itu beliau telah mengarahkan peguamnya melalui Tetuan Azam Aziz & Co untuk menghantar notis permohonan tuntutan maaf dan penarikan balik artikel tersebut kepada pihak terlibat.

Tambah beliau, undang-undang menghormati kebebasan bersuara rakyat termasuk kebebasan media melaporkan apa jua bentuk berita.

Namun katanya, kebebasan itu bukanlah bersifat mutlak dan ia dibatasi dengan had tertentu.

“Tidak boleh laksanakan kebebasan bersuara itu sehingga bebas memfitnah orang lain atau bebas melaporkan berita sehingga boleh mengelirukan dan mencetuskan kegelisahan awam sehingga menghakis kepercayaan orang ramai terhadap integriti pihak berkuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette