Antara peralatan judi atas talian yang dirampas

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket perjudian dalam talian menerusi serbuan di sebuah rumah yang dijadikan pusat panggilan aktiviti haram itu di Taman Sunway, Bukit Lenang, Johor Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, dalam serbuan pada pukul 6.30 petang itu, polis menahan 10 suspek yang terdiri daripada enam lelaki dan empat perempuan.

Kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun, ujarnya.

“Turut dirampas dalam serbuan itu, 11 komputer, 46 telefon bimbit pelbagai jenama, satu fail dokumen disyaki rekod perjudian, 143 keping simkad, satu modem dan router internet dan 14 keping kad ATM pelbagai bank.

“Modus operandi sindiket ini ialah menjadikan rumah kediaman sebagai pusat transaksi pemindahan dan pengeluaran wang secara online melalui akaun bank daripada perjudian yang beroperasi di luar negara.

“Anggaran transaksi membabitkan kumpulan ini adalah diantara RM50,000 hingga RM100,000 yang menyasarkan Malaysia, Singapura dan Hong Kong dijadikan pusat aktiviti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, sindiket perjudian yang hanya sempat beroperasi selama dua bulan sebelum diserbu dan hasil siasatan mendapati ia berpusat di Kemboja.

“Kesemua suspek yang merupakan pekerja sindiket itu ditahan kini dikenakan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Mei.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette