Kerja-kerja pemasanagan kawat dilakukan di UTM Skudai oleh PDRM.

SKUDAI – Kerja-kerja pemasangan kawat duri di sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini telah selesai dilakukan menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang bermula esok.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, kerja-kerja pemasangan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Bahagian Keselamatan UTM.

Jelas beliau, pemasangan kawat duri itu dibuat bermula pukul 10 pagi dan selesai kira-kira dua jam kemudian.

“Pemasangan kawat duri ini ekoran pelaksanaan PKPD di UTM bermula esok hingga 3 Jun ini.

“Kawat duri berkenaan dipasang di keliling kawasan kampus dengan empat pintu keluar dan masuk disediakan.

“Pintu berkenaan adalah Pos Senai, Pos Ladang, Pos Desa Bakti dan Pos Sri Pulai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kampus induk UTM di Skudai bakal dikenakan PKPD selama 14 hari bermula esok sehingga 3 Jun ini.

Sementara itu, Ahmad Fauzi turut memberitahu, bekalan makanan kepada warga kampus yang akan menjalani kuarantin akan diuruskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pihak UTM sedang mengumpulkan data bilangan penuntut dan staf yang terlibat untuk diberi kepada MKN,”ujar beliau. – Malaysiagazette