Penduduk yang merupakan golongan muda meluahkan perasaan marah mereka dengan memijak bendera Israel sebagai tanda membantah kekejaman negera tersebut ke atas penduduk Palestin di Perumahan Awam Sri Pulau Pinang, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pas mendesak Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) menggandakan peranan untuk menggembleng tenaga umat Islam menolak kekejaman Israel.

Ia termasuk memperjuangkan hak perlindungan antarabangsa kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Parti itu turut menyeru seluruh umat Islam supaya bersatu demi membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bantuan boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara sama ada menerusi kuasa politik dan suara diplomatik di peringkat antarabangsa mahu pun kuasa ekonomi yang melibatkan harta benda dan sebagainya.

“Kesatuan dan perpaduan umat Islam dengan pelbagai aliran dan mazhab serta gabung jalin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkukuhkan dalam menghadapi kezaliman Zionis Yahudi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Mohd Khairuddin, parti itu menerusi Muzakarah Majlis Syura Ulamak yang bersidang secara maya pada Selasa 18 Mei 2021 menyatakan pendirian yang sama dengan kerajaan Malaysia yang Israel yang dikuasai oleh zionis Yahudi adalah kerajaan haram  dibina di atas bumi dan negara Palestin yang dirampas sejak 1948.

Justeru sebarang penentangan oleh rakyat Palestin terhadap pencerobohan Irael demi mempertahankan tanah air, nyawa, kehormatan dan harta benda adalah perjuangan yang menepati hak asasi rakyat yang dizalimi.

Tambahnya, sebarang usaha normalisasi dengan zionis Yahudi dan kerajaan haram Israel juga perlu ditolak dan disanggah tegas.

“Kesan pencerobohan zionis Yahudi ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa ratusan ribu rakyat Palestin manakala jutaan mereka terusir keluar daripada negara sendiri dan menimbulkan konflik berpanjangan di rantau tersebut.

“Tindakan zionis Yahudi di negara haram Israel menyerang, membunuh dan merampas bumi umat Islam Palestin adalah sebenar-benar keganasan yang layak untuk pelakunya digelar sebagai pengganas dan terrorist serta merupakan jenayah antarabangsa yang perlu disekat dan dihalang oleh dunia dengan apa cara yang ada,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin menyeru umat Islam agar sentiasa melakukan Qunut Nazilah bagi memohon
keselamatan untuk umat Islam Palestin.-MalaysiaGazette