Noorzainy Mohd Noor.

BUTTERWORTH – Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita hari ini ketika sedang leka berpesta dadah di sebuah hotel di Jalan Bagan Jermal, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua penganggur berumur 21 hingga 28 tahun dan janda berumur 27 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 7.00 pagi menerusi operasi pematuhan COVID-19.

“Ketika ditahan, kesemua mereka sedang dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah. Mereka yang berasal dari Teluk Air Tawar, Penaga dan Kepala Batas itu didapati mendaftar masuk ke hotel berkenaan sejak Rabu lepas,” katanya yang dihubungi hari ini.

Noorzainy berkata, pihaknya turut merampas tiga paket plastik lutsinar dipercayai berisi dadah jenis syabu daripada mereka.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kesemua lelaki berkenaan positif terhadap dadah manakala wanita yang merupakan pekerja kilang, negatif terhadap barang terlarang itu.

Katanya, kesemua mereka dikompaun RM1,500 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Rahimi Mohd Ra’ais berkata, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi motosikal di sekitar Seberang Perai Selatan sejak beberapa bulan lepas dengan penahanan tiga lelaki di Nibong Tebal, semalam.

Rahimi berkata, siasatan mempercayai kesemua lelaki berumur 18 hingga 22 tahun itu mencuri kenderaan itu sebelum menjualnya kepada pembeli dengan harga murah selain menjual komponennya kepada rakan-rakan.

Beliau berkata, pihaknya percaya rangka kenderaan terbabit kemudian dibuang ke dalam Sungai Nibong Tebal berdasarkan penemuan sejumlah rangka motosikal di dalam sungai itu.

Kesemua mereka yang mempunyai pelbagai rekod lampau dan positif dadah itu kini direman bagi siasatan lanjut, katanya. – Bernama