Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia mengemukakan 10 tuntutan kepada kerajaan sekiranya hendak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, tuntutan itu ialah kerajaan perlu menyediakan bantuan khas pemangkin pendapatan sebanyak RM2,000 secara one-off kepada rakyat.

Tuntutan seterusnya, kata beliau ialah potong gaji Perdana Menteri, menteri Kabinet dan elaun ahli Parlimen dipulangkan kepada rakyat.

“Kita juga menuntut kerajaan memperkenalkan moratorium 12 bulan bagi semua jenis pinjaman iaitu kereta, rumah, peribadi dan lain-lain tanpa ada caj terselindung.

“Kita tuntut diskaun penuh bil elektrik dan air sepanjang total lockdown, perluaskan program subsidi upah, elak pembuangan pekerja dan kepada pekerja IKS yang tidak berdaftar di bawah Perkeso.

“Tuntutan seterusnya ialah Parlimen perlu segera bersidang secara bersemuka atau atas talian dengan menumpukan kepada pengurusan negara berhubung penularan Covid-19,” katanya kepada media hari ini.

Beliau turut mengemukakan tuntutan agar kerajaan mengetatkan penguatkuasaan pelanggaran SOP termasuk mengurangkan denda bagi kes pertama kali kepada RM1,000.

Selain itu, kata Nasrul Ali Hasan, kerajaan perlu percepatkan agihan vaksin terutama kepada negeri-negeri zon merah dengan imunisasi kelompok kritikal.

“Satu gajet, satu pelajar dengan jaringan internet pendidikan secara percuma dan pelepasan khas serta pengurangan cukai syarikat bagi tahun taksiran 2021 juga turut termasuk dalam 10 tuntutan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wiranita Putra Malaysia, Roshanita Basir berkata, pelaksanaan PKP penuh ini membimbangkan dan memberi kesan buruk kepada rakyat jika tidak memenuhi tuntutan yang dicadangkan parti itu.

Kerajaan kata beliau, seharusnya melaksanakan moratorium secara automatik selaras dengan PKP 3.0 ini kerana rata-rata peminjam golongan peniaga B40 tidak dapat menjalankan perniagaan.

Katanya, agak sukar bagi mereka untuk mendapat keuntungan disebabkan tiadanya pelanggan dan peniaga kecil serta golongan pekerja swasta pula perlu dibantu dan diambil perhatian.

“Apa yang terjadi dan kesan daripada itu mereka tidak mampu membayar pinjaman bank atau syarikat kewangan.

“Kita berharap pihak berwajib dan kerajaan memberi mereka modal pinjaman supaya dapat menampung peniagaan dan pendapatan yang terjejas, di samping membantu serta mengukuhkan ekonomi mereka yang semakin terhimpit sejak mulanya PKP 1.0,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.