Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak dapat melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) demi mengelak peningkatan pengangguran dan kemudaratan yang lebih serius kepada rakyat.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jika sektor ekonomi ditutup seperti PKP 1.0, jumlah rakyat yang menganggur dijangka mencecah satu juta orang.

Jelas beliau, sebanyak RM78 bilion telah dikeluarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar dan i-Lestari yang membuktikan rakyat terjejas dengan pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu.

“Seramai 2.8 juta pekerja informal pula berisiko tinggi akan hilang punca pendapatan manakala 2.6 juta ahli KWSP memiliki kurang daripada RM1,000 dalam Akaun 1.

“Jadi impak sosial mestilah diambil kira dalam penilaian PKP dan situasi-situasi menang perlu untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas menerusi aplikasi Zoom di sini hari ini.

Tengku Zafrul menambah, isi rumah dan perniagaan akan berdepan cabaran getir sekiranya PKP 1.0 diperkenalkan semula yang mana 53 peratus terjejas teruk dan enam peratus kurang terjejas teruk.

Jelas beliau, berdasarkan kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, kebanyakan pekerja dilaporkan terjejas teruk apabila satu daripada tiga individu tidak mampu mengekalkan perbelanjaan untuk lebih daripada satu bulan.

Menurutnya, sebanyak 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang daripada dua bulan.

“Sementara itu, sembilan daripada 10 golongan B40 yang bekerja sendiri tidak mempunyai liputan perlindungan pekerjaan.

“Pada masa sama, 68 peratus perniagaan dilaporkan tiada jualan atau hasil semasa PKP 1.0 dan 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih daripada enam bulan untuk pulih.

“Selain itu, dua daripada tiga perniagaan mempunyai atau akan mempunyai tunggakan  hutang dalam tempoh enam bulan,” katanya. – MalaysiaGazette