Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar selepas memberi keterangan mengenai video solidariti bersama Ganapathy pada akaun instagram miliknya di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selesai memberi keterangan kepada polis berhubung status komen beliau mengenai kematian tahanan dalam polis penjual susu lembu iaitu A.Ganapathy pada April lalu.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selesai memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataan beliau mengenai kematian A. Ganapathy yang mati semasa berada dalam tahanan tahanan pihak berkuasa itu pada April lalu.

Syed Saddiq berkata, beliau telah memberi kerjasama penuh kepada Polid di-Raja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang membabitkan komen dalam laman Instagram.

“Siasatan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan polis atas arahan SKMM telah merampas telefon bimbit saya dan akaun Instagram saya untuk memberikan bantuan sepenuhnya menyerahkan telefon bimbit semasa proses merakam keterangan tadi.

“Cuma saya nak maklumkan bahawa saya rasa tidak bersalah untuk bertindak sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab ke atas rakyat berbilang bangsa dan agama yang dipertanggungjawabkan menjadi institusi semak imbang untuk mendesak supaya penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dilaksanakan secepat mungkin.

“Video saya yang dimuat naik dalam Instagram rasmi saya adalah komen berkaitan mendessak kerajaan menyegerakan penubuhan IPCMC selepas kematian Ganapathy dalam tahanan polis,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Beliau yang ditemani peguamnya berkata, cadangan penubuhan IPCMC telah dipersetujui oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan juga Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan cadangan itu sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada Mac 2020 namun diberhentikan selepas kerajan Pakatan Harapan tumbang.

Ujar Syed Saddiq, adalah menjadi tanggungjawab kepadanya untuk membangkitkan semula isu itu sambil menyatakan rasa pelik kerana disiasat polis hanya kerana menyatakan tentang penubuhan IPCMC.

“Saya memahami ia tetap merupakan tanggungjawab polis dan saya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dan pegawai penyiasat tadi sangat baik dan memberi layanan adil semasa proses mengambil keterangan.

“Cuma saya berharap penggubal dasar di atas perlu fokus isu hakiki daripada menyiasat saya yang mendesak penubuhan IPCMC sepatutnya siasat kematian dalam tahanan polis yang agak serius ketika ini.

“Polis penyiasat tadi rampas telefon saya dan juga kad sim untuk siasatan dan memaklumkan siasatan menjurus kepada komen saya dalam Instagram sahaja sama ada rampasan telefonm bimbit itu dilakukan secara sah atau tidak saya serahkan kepada peguam saya untuk menguruskannya.

“Bagi saya, rampasan telefon saya tadi tidak sepatutnya berlaku kerana saya secara sukarela membenarkan polis mengakses akaun Instagram peribadi saya tetapi persoalannya kenapa mahu mengambil telefon bimbit saya untuk siasatan komen Instagram,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, beliau tidak menyalahkan polis kerana mereka hanya menjalankan tanggungjawabnya dan sedar arahan datang daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.- MalaysiaGazette