Selebriti, Neelofa bersama suaminya yang juga pendakwah selebriti, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz hadir ke mahkamah bagi pendakwaan atas kesalahan merentas negeri untuk membeli karpet di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan semalam.Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Pemakaian pelindung muka (face shield) dan niqab tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memakai pelitup muka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu yang memakai pelindung muka atau niqab tetap wajib memakai pelitup muka, berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Di bawah Akta 342, yang diwajibkan adalah memakai pelitup muka di tempat awam selain daripada pelitup muka, iaitu memakai face shield (pelindung muka) sahaja, memakai niqab, ia tidak boleh menjadi alasan untuk tidak memakai pelitup muka.

“Tapi untuk tambahan boleh memakai face sheild. Kalau memakai face sheild dan niqab tapi tidak memakai pelitup muka di dalamnya ianya tetap salah di bawah Akta 342,” katanya menerusi sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Untuk rekod, baru-baru ini kehadiran selebriti, Neelofa, 32, ke Mahkamah Seremban untuk mengadapi pertuduhan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipertikaikan netizen apabila tidak memakai pelitup muka.

Menerusi gambar yang dirakam petugas media di perkarangan mahkamah tersebut, jelas kelihatan niqab dipakai menampakkan bentuk hidung dan mulut selebriti itu.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, orang ramai digalakkan untuk memakai dua lapik pelitup muka di tempat berisiko tinggi kerana ia mencegah 95 peratus jangkitan virus.

“Pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat awam iaitu untuk melindungi kita daripada jangkitan tetapi pemakaian dua pelitup muka akan lebih berkesan iaitu dapat menapis lebih 95 peratus virus ini disarankan CDC. Terutama di tempat awam berisiko tinggi contohnya di hospital .

“Kebanyakan petugas kesihatan digalakkan memakai pelindung muka dan pelitup muka tiga lapis atau jenis N95 kalau bekerja di wad Covid-19 dan Unit Rawatan Rapi (ICU) pemakaian Pakaian Pelindung Diri (PPE).

Double pelitup muka digalakkan bukan diwajibkan tetapi pemakaian pelitup muka diwajibkan sekurang-kurangnya satu pelitup muka. Kalau kita berada di tempat sesak dan berisiko tinggi digalakkan memakai dua pelitup muka dan pelindung muka,” jelas beliau. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. MD or doktor perubatan aku kata pelitup muka buatan sendiri dari cebisan kain asalkan tutup hidung dan mulut dan dibasuh setiap kali digunakan tiada masalah okay jer.

Comments are closed.