SHAH ALAM – Parti Amanah Nasional Negara (Amanah) Selangor menyifatkan tidak ada keperluan negeri itu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dan lebih ketat.
Ini kerana, menurut Pengarah Komunikasinya, Wan Anwar Wan Ibrahim, PKP penuh dibimbangi akan menjejaskan ekonomi negeri yang menyumbang 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan juga kesihatan mental rakyat, termasuk peniaga kecil.
Bagaimanapun, katanya, jika “total lockdown” itu suatu yang tidak dapat dielakkan, maka tindakan tersebut hendaklah dilakukan dengan lebih bersasar dan berkesan, tetapi hanya selepas saringan berkelompok dijalankan.
“Kita selari dengan kerajaan negeri bahawa tidak ada keperluan untuk mengenakan total lockdown di seluruh Selangor kerana dibimbangi menjejaskan ekonomi negeri, negara dan kesihatan mental rakyat.
“Kita menggesa Kerajaan Persekutuan mencontohi pendekatan Selangor menangani Covid-19, yang dilihat lebih jelas dan terarah tanpa mengetepikan kepentingan membangunkan semula ekonomi serta memelihara kebajikan rakyat.
“Kerajaan Persekutuan juga hendaklah bersikap terbuka dan telus berkongsi data serta maklumat yang diperlukan dengan kerajaan negeri dalam mewujudkan sinergi bersama memerangi Covid-19 secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ia susulan daripada sidang media Exco Kesihatan Awam Negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Pengerusi Selangor Task Force Covid-19 (STF Covid-19), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada 19 Mei lalu.
Wan Anwar berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan Selangor dalam menangani pandemik Covid-19 ketika ini di negeri itu merupakan langkah proaktif yang terpuji.
Beliau menyimpulkan tiga perkara besar daripada pendekatan kerajaan negeri dalam memerangi Covid-19 ini.
“Antaranya, menjalankan program saringan Covid-19 secara percuma di seluruh 56 DUN bagi mencapai sasaran saringan berkelompok dan pengesanan awal bagi tindakan susulan segera.
“Mengenal pasti sasaran yang jelas mengikut keutamaan bagi melaksanakan program vaksinasi yang terdiri daripada kumpulan barisan hadapan, berisiko tinggi, warga emas, buruh, golongan terpinggir dan seluruh rakyat di Selangor.
“Terakhir, menempah sebanyak 2.5 juta vaksin bagi tujuan program vaksinasi tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















