Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa surat rentas negeri biarpun waktu hujan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Hari Raya Aidilfitri keempat bagi mengawal aktiviti rentas negeri di Plaza Tol Gombak, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 MEI 2021.

Saudara pengarang,

Seperti dijangka, selepas berakhir cuti panjang perayaan hari raya Aidilfitri, tersebar di pelbagai platform media sosial gambar menunjukkan keadaan trafik yang panjang sepanjang lebuh raya, antara yang paling tular dan begitu banyak dikongsi adalah di Lebuhraya Karak menghala ibu negara dari Pantai Timur.

Persoalan yang bermain di fikiran adalah adakah jumlah kenderaan terperangkap dalam kesesakan yang panjang itu disebabkan semuanya mahu ke Kuala Lumpur untuk bekerja? Saya berani menyatakan ramai juga dalam kalangan pengguna terbabit adalah mereka yang melanggar larangan rentas negeri untuk pulang menyambut lebaran di kampung halaman.

Sudah tentu, ada yang mempunyai alasan munasabah untuk membuat perjalanan berkenaan, tetapi saya pasti ramai juga menyalahgunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau pun surat kebenaran daripada polis untuk ‘menghalalkan’ rentas negeri dan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kita perlu akui, dalam kalangan rakyat Malaysia, memang ramai yang ‘pakar’ dalam mencari kelemahan apa juga peraturan dan menyalahgunakan kelebihan yang ada untuk kepentingan diri.

Atas alasan ‘bekerja’, ramai memohon kebenaran polis, tetapi tujuan sebenarnya adalah mahu merentas daerah atau negeri untuk bersama ahli keluarga di kampung merayakan Aidilfitri.

Pihak berkuasa pastinya dalam dilema kerana pemohon yang ‘panjang akal’ seperti itu menyertakan dokumen-dokumen rasmi seperti surat arahan bekerja daripada majikan bersama kepala surat tertera nama syarikat, yang bukannya sesukar mana pun untuk dihasilkan sendiri.

Saya percaya banyak kes kelulusan merentas negeri atau daerah yang diberikan oleh pihak berkuasa adalah kerana alasan yang ‘kelabu’. Ini kerana definisi ‘kerja’ itu terlalu luas, termasuk yang memerlukan seseorang itu melakukan perjalanan rentas negeri.

Dalam hal ini, tidakkah mereka yang berbuat demikian ada rasa malu dan kebertanggungjawaban terhadap diri sendiri dan orang lain? Adakah mereka lupa Covid-19 masih berada dalam komuniti, masih mengancam negara dan nyawa kita dengan kes jangkitan dan kematian meningkat mendadak dalam jumlah yang sangat menakutkan?

Adakah mereka lupa bagaimana situasi pandemik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu yang menyaksikan ramai menemui ajal angkara virus berbahaya berkenaan? Lupakah mereka bagaimana situasi selepas PRN itu apabila Covid-19 menjangkiti ribuan rakyat dan menjejaskan sosio-ekonomi negara dengan ketara?

Tidakkah mereka ingat satu kes lewat tahun lalu di mana seorang individu pulang ke kampungnya di Sibu, Sarawak untuk menghadiri pengebumian bapa dan kemudian mencetuskan Kluster Pasai yang menjangkiti lebih 2,600 individu dan menyebabkan 29 kematian.

Adakah mereka yang ingkar arahan, bertindak merentas negeri semata-mata untuk menyambut Aidilfitri di kampung atau apa juga alasan selepas ini mahu situasi seperti di Sibu itu berulang lagi?

Saya juga percaya dalam ramai-ramai yang ingkar arahan PKP, pasti terselit juga mereka yang mengkritik kerajaan dengan dakwaan gagal mengawal penularan wabak berbahaya berkenaan.

Pasti mereka juga tidak henti-henti berkongsi tanda pagar #KerajaanGagal di media sosial dan menuduh kerajaan bersikap pilih kasih dalam situasi yang dirujuk mereka sebagai kes ‘kayangan’ atau apabila ada orang kenamaan atau selebriti melanggar SOP.

Saya akui, kerajaan sepatutnya menangani kes-kes sedemikian dengan cara yang lebih baik, tetapi seperti kata pepatah Inggeris, ‘two wrongs don’t make a right’ atau takrifannya, jika seseorang itu melakukan kesalahan, kita tidak wajar menggunakannya sebagai alasan untuk turut melakukan kesalahan yang sama kerana ia akan hanya memburukkan keadaan.

Jika kita semua tidak mematuhi SOP atau sekadar patuh kerana takut dengan tindakan atau kompaun, bukannya ikhlas dan secara sepenuh hati, maka perang melawan Covid-19 pasti akan berdepan jalan sukar. Perang ini memerlukan semua pihak, kerajaan dan rakyat berganding bahu dan bersatu hati.

Ia akan bertambah sukar dengan sikap sesetengah daripada kita yang saban masa mengkritik kerajaan kononnya tidak melakukan secukupnya, sedangkan pada masa sama mereka juga tidak mematuhi arahan, larangan dan SOP yang ditetapkan dengan sepenuhnya.

Adakah kerajaan yang gagal atau kita juga gagal?

Abdul Hakim Dahlan
Desa Jaya, Kepong

2 Komen

  1. Mmg terang² rakyat yg gagal.
    Rakyat yg byk komplen tu yg sebenarnya gagal mendisiplinkan diri utk akur dgn arahan pihak berkuasa. Apa saja arahan atau SOP yg dikeluarkan oleh semuanya tk kena bagi depa, termasuk najib pun sekali. Dia pernah dgn sengaja mencabar pihak berkuasa utk kompaun dia, walaupun kompaun tersebut dia membayarnya. Inilah bekas PM yg paling bangang sekali yg pernah malaysia ada. Dia kata kerajaan tk pentingkan rakyat, hanya pentingkan ekonomi saja. Sedangkan sektor² ekonomi itulah utk kepentingan rakyat. Jika tk buka sektor ekonomi, dah tentu rakyat jgk yg merana.
    Dia tkpa la duit ada ratus juta. Tktau mai dari mana duit depa ratus² juta tu..
    Dan lagi satu ramai jgk org² tertentu yg cuba utk menggagalkan usaha kerajaan utk melawan pandemik covid19 ni. Jadi, secara tk langsung depa buat kempen yg menampakkan kerajaan gagal. Puak²,itu sebenarnya adalah musuh negara. Depa tk suka bila kerajaan berjaya tangani covid19 ini.
    Puak Haprak punya jenis tu.

Comments are closed.