Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tidak timbul isu ‘kawtim’ antara kerajaan dengan pengusaha kilang atau mana-mana pihak berikutan  keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak melaksanakan sekatan sepenuhnya bagi membendung penularan Covid-19.

Sebaliknya mana-mana kilang mahupun pusat beli-belah akan ditutup serta-merta sekiranya didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan terdapat kes positif yang dikesan melalui sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

“Sebelum ini lebih 70 kilang telahpun ditutup akibat daripada pelanggaran SOP ataupun kes-kes positif di kilang. Kita mempunyai HIDE akan mengenal pasti kawasan dianggap berisiko sama ada kilang mahupun kompleks beli-belah.

“Selepas penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), diputuskan berisiko tinggi tak kira mana-mana tempat, kilang atau pusat beli-belah, kerajaan akan ambil tindakan, yang langgar SOP pun kita akan tutup serta-merta.

“Jadi tak timbul isu yang kawtim atau tidak kawtim,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di kilang Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd di Puchong, hari ini.

Semalam, rakyat meluahkan rasa kecewa terhadap pengumuman kerajaan yang hanya memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sektor ekonomi dan sosial, meskipun didesak supaya ‘total lockdown’ dikuatkuasakan.

Sebaliknya dua strategi diambil kerajaan untuk mengurangkan pergerakan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Kerajaan menetapkan untuk mengurangkan jumlah pekerja di pejabat serta menghadkan masa operasi sektor ekonomi sahaja antara 80 hingga 40 peratus sahaja perlu bekerja dari rumah. – MalaysiaGazette