Sahabudin.

GEORGE TOWN – Polis akan merakam percakapan saksi dari Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung dakwaan tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac daripada sebuah syarikat swasta yang berpangkalan di Hong Kong.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, pihaknya juga akan merakamkan keterangan beberapa individu  dari syarikat yang didakwa menawarkan sumbangan tersebut.

“Selain mereka, kita juga akan merakam percakapan saksi dari Pejabat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Polis juga akan menghubungi syarikat yang berkaitan untuk mengesahkan status pendaftaran syarikat berkenaan serta peranan penulis surat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Sahabudin, modus operandi kes itu ialah suspek yang juga wakil syarikat dipercayai cuba menipu kerajaan Pulau Pinang dengan menawarkan dua juta dos vaksin Sinovac yang dipercayai tidak wujud.

“Siasatan juga mendapati penulis surat yang menawarkan dua juta dos vaksin bukanlah Pengarah Urusan syarikat Xintai Development Enterprise Ltd seperti yang dinyatakan di dalam surat berkenaan.

“Penulis surat itu hanyalah wakil kepada syarikat Xintai Development Enterprise Ltd, dilantik secara lisan sahaja yang ia mengesahkan tandatangan pada surat yang dihantar ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang itu miliknya,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata, setakat kini polis telah menerima enam laporan yang meminta siasatan dijalankan daripada beberapa beberapa parti politik termasuk Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

“Semua laporan yang diterima mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” kata Sahabudin. – MalaysiaGazette