24 warga asing termasuk 16 pelajar kolej swasta antara ditahan hisap ganja dan berhibur di hotel mewah diberkas semalam.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan warga asing terdiri daripada pelajar, pelancong dan juga yang bekerja di sini sedang asyik berparti sambil menghisap ganja di dua hotel penginapan mewah berjaya digempur polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mereka ditangkap dalam dua serbuan berasingan di dua buah hotel sekitar Dang Wangi.

“Dalam serbuan pada Ahad, sepasukan polis dari IPD Dang Wangi berjaya menahan seramai 24 orang terdiri daripada 19 orang lelaki Nigeria, lima perempuan dari Sierra Leone, Thailand, Kenya dan Tanzania berusia lingkungan 24 tahun hingga 40 tahun.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel mereka, polis telah merampas dadah jenis ganja anggaran berat 7.69 gram.

“Hasil saringan seramai 12 orang daripada mereka didapati positif dadah dan kini direman 14 hari sehingga 6 Jun,” katanya menerusi kenyataan media hari ini..

Ksemua suspek disiasat di bawah Seksyen 6, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6(1) (c) Akta imigresen 1956/63; Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana terlibat dalam aktiviti terlarang.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awalpolis didapati seramai 16 orang daripada keseluruhan tangkapan itu merupakan pelajar kolej swasta, manakala selebihnya adalah pelancong dan pekerja yang bekerja di negara ini.

“Mereka didapati telah menyewa bilik-bilik di dua hotel berkenaan dengan kadar lebih RM500 dan RM1400 untuk satu malam bagi berhibur sambil menghisap dadah secara berkumpulan.

“Justeru, pihak PDRM memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti pengedaran, penagihan dadah dan parti liar di kawasan sekitar daerah dang wangi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” tegas beliau.-MalaysiaGazette