Sekumpulan individu dikompaun RM52,000 selepas didapati berkumpul tanpa alasan munasabah di Kampung Jeniang, Gurun, Kedah.

GURUN – Seramai 13 individu dikompaun dengan nilai keseluruhan RM52,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berkumpul di sebuah rumah di Kampung Jeniang di sini lewat malam tadi.

Hasil serbuan sepasukan polis dari Balai Polis Gurun yang melakukan penugasan pemantauan Covid-19 pada jam 10.30 malam itu mendapati 10 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 27 hingga 45 tahun sedang berkumpul serta menjamu selera dalam kediaman salah seorang daripada mereka.

Rata-rata yang ditahan merupakan peniaga, pekerja kilang serta pengawal keselamatan.

13 individu termasuk 3 wanita dikompaun kerana gagal mematuhi SOP PKP.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati kesemua mereka tinggal di sekitar Gurun dan berkumpul dengan alasan mahu memasang bendera Palestin.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pihak polis gagal menemui sebarang bendera seperti dinyatakan mereka.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua mereka berkumpul tanpa alasan munasabah, selain gagal memastikan penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Adzli, kesemua 13 individu berkenaan dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette