Penerbangan dalam negeri dan antarabangsa dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Tempoh kuarantin wajib bagi pengembara warganegara dan bukan warganegara daripada Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilanjutkan kepada 21 hari, berkuat kuasa serta merta.

Manakala, tempoh kuarantin wajib pengembara dari semua negara lain dilanjutkan kepada 14 hari, di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

Walaubagaimanapun menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tempoh bagi pengembara dari negara lain akan dilanjutkan menjadi 21 hari sekiranya perlu.

Lanjutan itu jelasnya akan dipertimbangkan berdasarkan hasil penilaian risiko yang dijalankan pada hari ke-14 kuarantin.

Jelas Ismail, keputusan ini dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas mempertimbangkan situasi Covid-19 di dunia apabila lebih daripada 50 peratus negara melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) dalam komuniti.

“Pelaksanaan arahan kuarantin wajib selama tempoh 21 hari ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia yang tiba dari India adalah dikekalkan,” katanya menerusi kenyataan berkenaan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Selain itu beliau memaklumkan, semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dan semasa tiba di Pintu Masuk Antarabangsa.

“Ujian ulangan RT-PCR Covid-19 dilakukan pada hari ke10. Sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan RT-PCR Covid-19 dibuat pada hari ke-18,” tambah Ismail.-MalaysiaGazette