Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengadakan beberapa perbincangan dan tindakan bagi mengumpul maklumat berkaitan dakwaan bahawa sebuah syarikat, Atomy Sdn Bhd adalah gerakan kristianisasi.

Menerusi hantaran di Facebook, Jakim memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-118 yang bersidang sebelum ini sudah membincangkan mengenai kertas ‘Pandangan Hukum Berkenaan Perniagaan Yang Menyumbang Kepada Gerakan Anti Islam’.

“Muzakarah ini membuat ketetapan bahawa kajian lanjut perlu dilaksanakan kerana membabitkan banyak pihak,” katanya.

Terdahulu sebelum ini, seorang individu, Mohd Fadli Salleh mendesak JAKIM, menteri, mufti dan agamawan supaya mengeluarkan kenyataan jelas berhubung syarikat terbabit yang berpangkalan di Korea kerana didakwa menjalankan gerakan kristianisasi.

Individu itu mendakwa gerakan terbabit turut melibatkan ramai umat Islam di Malaysia yang terjebak, termasuk orang ternama dan pakar motivasi.

Dalam pada itu JAKIM berkata, sebarang kenyataan yang dibuat berhubung pihak lain perlu melalui beberapa peringkat penyelidikan dan kajian mendalam, selain bukti kukuh.

“Justeru, JAKIM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak, seperti pakar bidang muamalat, akidah dan agensi berkaitan, antaranya Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan kajian berkaitan.

“Semua pihak dinasihatkan agar mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berautoriti sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam,” ujar. – MalaysiaGazette