KUALA LUMPUR – Kerajaan memerlukan pendekatan tuntas dalam menangani krisis penularan Covid-19 yang merekodkan kes pertambahan setiap hari sehingga meletakkan rakyat dalam ketakutan.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, jika kerajaan gagal mengatasi fenomena itu, dikhuatiri akan melumpuhkan sistem kesihatan negara, apatah lagi jika petugas barisan hadapan sendiri mengalami kepenatan.
Kata beliau, berdasarkan situasi terkini, kerajaan perlu memperkemaskan SOP PKP 3.0 dan program vaksinisasi yang dilihat agak perlahan serta gagal meyakinkan rakyat.
“Melihat kepada kes positif Covid-19 yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini memberi isyarat jelas negara memerlukan satu pendekatan tuntas dalam menangani krisis ini.
“Kita bimbang penularan ini akan melumpuhkan sama sekali sistem kesihatan negara, terutama apabila petugas barisan hadapan mengalami kepenatan kerana kes yang meningkat setiap hari,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar berkata, ketidakhadiran kira-kira 10,000 individu yang sepatutnya menerima vaksin di Kelantan semalam, memberi isyarat jelas mereka masih gagal menerima maklumat tepat serta meyakinkan berhubung vaksinasi.
Mustafa Shah berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan sistem penyampaian, selain lebih terbuka dengan membenarkan pendaftaran vaksinasi secara “walk in” kerana ramai di luar sana berhasrat mendapatkan vaksin, tetapi belum berpeluang.
“Kita sedar kos pembelian dan ketahanan vaksin jika dibawa keluar dari pusat penyimpanan, tetapi kerajaan perlu mencari formula berkesan bukan saja untuk meyakinkan rakyat, malah mempercepatkan lagi orang ramai menerima vaksin.
“Kita tidak boleh mengambil masa sehingga empat atau lima tahun untuk memastikan 80 peratus populasi rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin,” katanya. – MalaysiaGazette

















Sebab hari tu kata vaksin tak wajib. Itu masalahnya.