Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang dawai kawad berduri di sekitar flat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mulai Ahad 23 Mei hingga 5 Jun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di PPR Kampung Limau, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 23 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Para penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau yang sebelum ini didakwa telah dihalang memesan makanan dalam talian sebenarnya dibenarkan berbuat demikian.

Bagaimanapun, kelonggaran itu dihadkan bermula pada waktu tengahari selama dua jam bagi kawasan itu yang sedang dalamĀ  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar.

Beliau berkata, terdapat maklumat bercanggah tentang kebenaran itu.

“Saya telah mempengerusikan sendiri Mesyuarat Penyelarasan penugasan dan isu-isu berbangkit termasuk isu pesanan makanan melalui grabfood, foodpanda dan lain-lain.

“Dalam mesyuarat tersebut, semua ahli mesyuarat bersetuju pesanan makanan secara dalam talian boleh dibuat oleh penduduk PPR Kg Limau semasa PKPD.

“Tetapi pesanan makanan menerusi e-hailing dihadkan penghantaran bermula jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang bagi mengelakkan kesulitan pihak Kementerian Kesihatan untuk membuat swap test ke atas semua penduduk Blok 94 dan Blok 96 PPR Kg Limau,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Namun, katanya, pembelian secara talian selain barang makanan melalui Lazada atau Shoppee buat masa ini tidak digalakkan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette