Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO berharap masalah kesulitan orang ramai mengakses laman web kerajaan untuk membuat tempahan suntikan vaksin Astrazeneca 2.0 yang dibuka hari ini, dapat diselesaikan secepat mungkin.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah itu perlu diatasi segera ketika rakyat bersemangat untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

“Media sosial hari ini dihujani rungutan mengenai kesulitan pendaftaran online bagi mendapatkan suntikan AstraZeneca 2.0.

“Ada yang terpaksa mengaku diri bukan robot sehingga berpuluh kali sejak jam 12 tengah hari tadi, tetapi masih gagal membuat pendaftaran.

“Ada yang tidak dapat memilih negeri, dan paling teruk ada yang langsung tidak dapat akses kepada pendaftaran dalam talian tersebut. Jangan lunturkan semangat mereka,” katanya menerusi Facebooknya.

Hari ini, kerajaan membuka peluang kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mendaftar pengambilan vaksin Astrazeneca dengan sejuta slot tersedia untuk ditempah.

Menurut Ahmad Zahid, ketika rakyat digesa supaya mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca, permasalahan seperti itu sama sekali tidak membantu.

“Saya menasihati rakan-rakan semua jangan ‘merajuk’. Jangan ‘patah hati’ dan putus asa untuk terus mahu mendapatkan suntikan vaksin pula.

“Kita tunggu penjelasan atau perutusan ruang bicara khas kerajaan. Semoga ada penyelesaian secepat mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast