KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada petugas media, memandangkan ramai di kalangan mereka dikhabarkan telah dijangkiti virus Covid-19.
Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR itu berkata, pengamal media merupakan petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Tanggungjawab yang mereka galas mampu mengolah persetujuan umum.
“Justeru, saya gesa kerajaan mempercepatkan langkah ini dan dedahkan mekanisme yang terbaik dalam memungkinkannya,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.
Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memberi janji temu kepada lebih 5,000 petugas media daripadaa 144 agensi yang berdaftar di negara ini, untuk mendapatkan vaksin.
Kata beliau, setakat ini pihaknya menerima 5,867 nama petugas media dan janji temu akan dikeluarkan secepat mungkin selepas mendapat butiran lengkap.
Ini selari dengan keputusan kerajaan untuk melindungi petugas media di barisan hadapan dengan mendahulukan guru dan pengamal media.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin Covid-19, tetapi tertakluk kepada bekalan vaksin. – MalaysiaGazette
















