Dr. Ibrahim (dua dari kiri) menunggu hampir tiga setengah jam sebelum disuntik di PPV Stadium Titiwangsa.

KUALA LUMPUR – Pihak yang menguruskan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) harus menambahbaikkan lagi proses menunggu giliran penerima vaksin yang mengambil masa agak lama sebelum disuntik.

Sistem beratur yang tidak tersusun terutama melibatkan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dengan penerima berusia bawah 60 tahun, boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan mereka.

Ini dikongsikan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, yang menunggu hampir tiga setengah jam dari jam 11 pagi untuk tiba ke giliran disuntik.

“Saya sampai di PPV Stadium Titiwangsa kira-kira jam 11 pagi dan terpaksa berjalan kaki jauh kerana tempat letak kereta yang disediakan urusetia agak jauh dari PPV.

“Beratur di garisan mula saja ambil masa satu setengah jam, sebelum diberikan borang untuk diisi. Sepatutnya borang itu diberi di luar lagi dengan sambil menunggu dalam barisan boleh isi borang berkenaan.

“Selepas isi borang, data dimasukkan dalam sistem pendaftaran. Di sini menunggu lagi lebih satu jam,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Dr. Ibrahim selesai disuntik vaksi Pfizer selepas tiga jam menunggu.

Beliau yang mendapat suntikan dos pertama vaksin Pfizer turut melalui pengalaman orang ramai bagi mendapatkan vaksinasi di PPV dan ternyata urusannya agak lambat serta mengambil masa.

Kata Ibrahim, beliau berasa kasihan kepada golongan warga emas yang terpaksa menunggu lama bersama penemannya untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Sepatutnya waktu temu janji ini ada jarak yang boleh diselesaikan satu persatu mengikut waktu temu janji. Ini tidak, yang temu janji jam 11 pagi, datang jam 9 pagi, maka bertembung dan sesak dengan penerima temu janji jam 9 pagi.

“Perancangan ini dibuat dengan tidak teliti. Buktinya, saya datang jam 11 pagi, jam 1.30 tengah hari belum tiba lagi giliran untuk disuntik. Saya jangkakan jam 2.30 petang baru selesai.

“Maknanya, tiap seorang penerima suntikan menunggu antara tiga ke tiga setengah jam baru selesai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast