Kertas siasatan exco ingkar sop ziarah raya akan dirujuk kepada DPP hari ini kata Arjunaidi Mohamed.

SHAH ALAM – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung gambar seorang Exco  Selangor yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menganjurkan jamuan Hari Raya Aidilfitri di rumahnya pada 1 Syawal lalu.

Exco yang dimaksudkan adalah Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah.

Kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Ketua Pendakwa Raya Negeri Selangor untuk arahan lanjut, kata Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed hari ini.

“Kes itu sudah disiasat dan kertas siasatan sudah dilengkapkan oleh pasukan kami.

“Kita akan menghantar kertas siasatan yang sudah lengkap itu kepada pejabat Pendakwa Raya hari ini juga dan kita akan tunggu untuk arahan tindakan lanjut,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Menurutnya, setakat ini beberapa individu telah dipanggil termasuk Exco berkenaan dan semuanya selesai diambil keterangan.

Minggu lalu, Arjunadi berkata, semua individu serta Exco berkenaan akan dipanggil polis bagi membantu siasatan polis.

Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. – MalaysiaGazette