Peniaga kecil ini antara yang terkesan dengan pelaksanaan PKP.

KUALA LUMPUR – Peniaga kecil antara anggota masyarakat yang paling terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada 1.0, 2.0 mahupun 3.0.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun berpendapatan mereka umpama kais pagi makan pagi, mereka tetap akur dengan ketetapan kerajaan ke atasnya demi membantu melandaikan lekuk Covid-19.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan peniaga kecil termasuk penjaja jalanan antara wira negara dalam berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Ahmad Zahid Hamidi

“Mereka juga sebahagian daripada wira negara yang telah banyak berkorban bagi membantu membendung penularan wabak itu di Malaysia.

“Mereka umpama wira tidak didendang yang telah bersama-sama mengharungi perit getir dalam ‘peperangan’ melawan Covid-19.

“Saya berpandangan begini kerana mereka antara anggota masyarakat yang paling terkesan akibat pelaksanaan PKP,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Kata Ahmad Zahid, kelebihan golongan peniaga kecil itu ialah tetap akur apabila diminta menghentikan sementara perniagaan walaupun itu bermaksud mereka akan hilang pendapatan.

Ujarnya, mereka akur apabila diminta mengehadkan tempoh berniaga walaupun kepatuhan itu bermaksud pendapatan isi rumah akan berkurangan.

“Secara harfiah, sebahagian besar peniaga kecil mengalami kerugian demi kerugian sejak pelaksanaan PKP 1.0 lagi dan kita tahu sebilangan mereka telah pun ‘tumpas’ dalam ‘perjuangan’ itu, manakala selebihnya terus bertahan dan bertahan.

“Terkini kemerosotan jualan akibat PKP 3.0 tidak dapat dielakkan. Mereka telan walaupun pahit demi kemaslahatan yang lebih besar.

“Saya percaya golongan ini sanggup berkorban pada waktu pandemik dengan harapan cahaya terbit segera dihujung terowong,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap, kerajaan akan terus berikhtiar untuk mengurangkan impak PKP 3.0 ke atas wira ini dengan bantuan intensif kepada mereka.

Ini termasuk pelan tindakan bagi menyelamatkan perniagaan kecil dan pemberian bantuan secara terus kepada mereka.

“Kerajaan wajar juga mempertimbangkan permintaan mereka yang tidak seberapa ini iaitu waktu operasi bermula jam 8 pagi diteliti semula memandangkan ramai peniaga ada yang mula berniaga lebih awal dari itu.

“Semoga dengan penetapan had waktu operasi yang lebih signifikan dapat mengurangkan impak PKP 3.0 terhadap mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast