Seorang petugas menyusun vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca yang digunakan semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk memasukkan pemberian AstraZeneca dalam senarai vaksin arus perdana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selepas melihat sambutan baik dalam kalangan masyarakat.

Justeru, tempahan vaksin AstraZeneca selepas ini tidak lagi perlu dibuat menerusi laman web berasingan sebaliknya melalui aplikasi MySejahtera.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu  dibuat selepas melihat respon masyarakat kini tidak lagi meragui keberkesanan vaksin tersebut.

“Kaedah tempahan ini dibuat selepas kita lihat ada keengganan dalam kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca disebabkan beberapa berita mengaitkan vaksin ini dengan kes pembeekuan darah maka kaedah sukarela dilaksanakan berdasarkan inform decision oleh individu itu sendiri.

“Bagaimanapun selepas melihat sambutan memberangsangkan dalam kaedah opt in kita melihat tanpa keengganan terhadap vaksin AstraZeneca terhakis dan tidak lagi meragui vaksin ini sekarang vaksin AstraZeneca diterima baik oleh masyarakat kita jadi selepas ini kita akan buat keputusan bahawa untuk bulan-bulan akan datang kita tidak lagi laksanakan pemberian vaksin AstraZeneca secara sedemikian sebaliknya kembali dimasukkan dalam senarai vaksin arus perdana PICK,” katanya menerusi sidang media yang diadakan dalam talian hari ini.

Ujar Khairy, aplikasi MySejahtera akan dikemaskini untuk memudahkan pemilihan vaksin dibuat ketika mendaftarkan diri.

“Saya sedang melihat kepada satu kemudahan yang mungkin bakal kita beri kepada orang ramai di mana orang ramai dapat buat pilihan vaksin mereka terima melalui MySejahtera yang akan kita naik taraf tidak lama lagi,” katanya lagi.

Terdahulu, Khairy memaklumkan sebanyak 956,609 tempahan untuk vaksin AstraZeneca telah berjaya dibuat menerusi pusingan kedua yang berlangsung pada 26 Mei 2021.-MalaysiaGazette