Tiada bukti saintifik yang mengaitkan kucing atau sebarang haiwan peliharaan lain sebagai penyebar virus Covid-19 kepada manusia dan haiwan lain.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiada bukti saintifik yang mengaitkan kucing atau sebarang haiwan peliharaan lain sebagai penyebar virus Covid-19 kepada manusia dan haiwan lain.

Dekan Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Abdul Rahman Omar berkata demikian bagi menafikan mesej tular di media sosial.

Mesej yang tular itu berkaitan iklan kajian UPM bertajuk “SARS-CoV2 (Covid-19) dan Kucing” dan bukan pernyataan “UPM sudha mula buat kajian kerana semakin ramai yang memelihara kucing dijangkiti penyakit Covid-19. UPM ingin dapatkan bukti yang kucing jadi pembawa virus Covid-19 dan disebarkan kepada manusia.’

“Ingin ditegaskan mesej itu bukan daripada kami dan kandungannya adalah tidak benar sama sekali. Mesej ini merupakan hasil dari perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab,” kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, objektif utama kajian pihaknya untuk mengetahui sekiranya haiwan peliharaab seperti kucing boleh terjangkit Covid-19 daripada pemilik mereka.

Justeru beliau menggesa orang ramai, pemilik dan pencinta haiwan supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan berdasarkan mesej berkenaan.

UPM juga mahu sebaran mesej tersebut dihentikan kerana ia adalah satu kesalahan dan bertentangan dengan tujuan sebenar kajian yang dijalankan.

Menurutnya, kajian itu telah mendapat penyertaan yang mencukupi daripada pesakit Covid-19 dan telah ditutup mulai 23 Mei lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast