Tempahan 1 juta vaksin AstraZeneca untuk pendaftaran dalam talian telah ditutup tidak sampai satu setengah jam selepas dibuka bermula jam 12 Ahad lalu. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Selangkah Ventures Sdn Bhd menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang mendakwa syarikat itu membuat tempahan slot vaksin AstraZeneca yang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Iesta Tengku Alaudin menegaskan tuduhan dan dakwaan itu tidak mempunyai asas sama sekali.

“Pihak Selangkah menegaskan bahawa kami tiada sebarang penglibatan berkenaan tempahan slot vaksin AstraZeneca seperti yang didakwa.

“Kami juga tidak eprnah dihubungi oleh pihak CITF berhubung perkara ini seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, syarikat itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan dakwaan palsu yang bertujuan mencemar reputasinya.

CITF dalam kenyataannya hari ini berkata, mendapati beberapa slot vaksin AstraZeneca telah ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai.

Tempahan tersebut dibuat tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit khususnya untuk menerima vaksin AstraZenec selepas mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai itu dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama.

Katanya, CITF telah menghubungi salah satu pihak yang membuat tempahan slot dalam jumlah yang ramai iaitu pihak SELangkah. – MalaysiaGazette

Tempah janji temu vaksin untuk orang lain dalam jumlah yang banyak punca kecelaruan