Foto Instagram Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa akur masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada majlis tahnik anak kedua di kediaman mereka, awal bulan ini.

Siti berkata, beliau dan suami menghormati keputusan dibuat dan berharap semuanya diselesaikan dengan baik.

“Kami hanya mendapat tahu menerusi berita dan dimaklumkan pihak media mengenai kompaun dikenakan.

“Kami belum mendapat pemberitahuan secara rasmi daripada polis.

“Apapun, kami hormat dan akur dengan apa juga yang diputuskan pihak berkuasa dan berharap semua ini selesai dengan baik,” katanya memetik laporan BH Online.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, dilaporkan berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menghadiri majlis tahnik itu turut dikenakan kompaun RM2,000.

Selain itu, penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid serta Ustaz Iqbal Zain dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

Turut dikenakan kompaun adalah tiga anak Khalid iaitu Muhammad Adif Khalid, Muhammad Aazief dan Muhammad Asyraf masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

Sebelum ini, Siti mencetuskan kontroversi apabila beberapa foto memaparkan seorang menteri dan pendakwah bebas terkenal hadir ke majlis tahnik anak keduanya, Muhammad Afwa, tular. – MalaysiaGazette