KUALA LUMPUR – Sumber yang rapat dengan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menafikan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Bhd. (Prasarana) itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber itu yang enggan namanya disiarkan berkata, Tajuddin kini berada di rumahnya selepas selesai memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur petang semalam.
Berita mengatakan beliau ditahan SPRM selepas keluar dari Balai Polis Dang Wangi, tidak benar.
“Dia ada di rumah bersama keluarganya dan tidak mahu diganggu,” katanya kepada sebuah media, hari ini.
Sebuah portal berita melaporkan, Tajuddin ditahan SPRM semalam atas dua tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu dikatakan ditahan petang semalam, selepas hadir untuk disoal siasat di ibu pejabat SPRM, namun dibebaskan dengan jaminan.
Tajuddin sepatutnya didakwa semalam, bagaimanapun, SPRM masih menunggu arahan dari Jabatan Peguam Negara.
Terdahulu, beliau yang menaiki kereta Mercedes Benz berwarna perak tiba di Balai Polis Dang Wangi pada jam 4.45 petang untuk dirakamkan keterangan berhubung tindakannya melanggar SOP PKP dalam sidang media kelmarin.
Siasatan dijalankan susulan tular rakaman video sidang medianya yang hanya mengenakan pelindung muka tanpa memakai pelitup muka. – MalaysiaGazette