Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO pernah menyarankan kerajaan sebelum ini sekiranya hendak mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh perlu dilaksanakan dengan lapan syarat.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, syarat itu ialah PKP penuh 21 hari, moratorium pukal, tambahan Bantuan Prihatin Rakyat disegerakan, bantuan komputer riba sebanyak 150,000 dipercepatkan dan ditambah.

Katanya, empat syarat lagi ialah perhebatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, skim bakul makanan hendaklah ditambah baik kaedah penyampaian, jadikan UTC dan RTC sebagai pusat sehenti bantuan rakyat memerlukan dan tambahan hospital medan.

Beliau berkata, menangani wabak Covid-19 dan menjaga kelangsungan hidup rakyat adalah tanggungjawab kerajaan.

Ahmad Zahid turut menyarankan kerajaan mengikut langkah Hong Kong, Vietnam dan beberapa negara lain yang melaksanakan total lockdown selama 21 hari, bukan dua minggu seperti diumumkan kerajaan dari 1 hingga 14 Jun ini.

“Namun, pastikan total lockdown ini dilaksanakan dengan segala bentuk bantuan yang akan kembali masuk dalam kitaran ekonomi, seperti bantuan kepada rakyat secara relatif akan mencipta permintaan dan ekonomi akan bergerak walaupun PKP.

“Menteri Kewangan juga dalam kenyataannya mengesahkan kerajaan telah meminjam RM99.3 billion. Begitu juga jumlah pinjaman kerajaan termasuk Khazanah dan Petronas sebanyak RM115.53 bilion,” katanya menerusi Facebooknya.

Jelas bekas Timbalan Perdana Menteri itu, untuk apa meminjam jika kebajikan rakyat diabaikan.

Tegasnya, bantulah rakyat melalui Bantuan Prihatin 3.0 serta bakul makanan yang lebih efektif serta I-Sinar 2.0 atau I-lestari plus.

“Jangan lupa gunakan Ordinan Darurat untuk moratorium plus kerana darurat diperolehi untuk melawan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast