KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengesahkan pesawat Israel telah melalui ruang udara Malaysia baru-baru ini, namun ia mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Menurutnya, pesawat awam milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) berlepas dari Male, Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada jam 2.55 pagi 19 Mei lalu.
”Pesawat awam berkenaan disahkan melalui ruang udara Malaysia mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh ICAO, di mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.
”Sebagaimana peraturan-peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan daripada melalui ruang udara selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Artikel berkaitan: Pesawat pengintip prototaip Israel buat apa di Putrajaya?
MoT menegaskan IAI-Elta ini tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia.
Malah, tiada corak penerbangan yang tidak normal ketika pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia.
Pihak berkuasa penerbangan Malaysia juga mengesahkan bahawa pesawat tersebut tidak kembali ke ruang udara Malaysia setelah tiba di destinasinya, Singapura, ujar MOT. – MalaysiaGazette