Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melawat Bilik Gerakan KDN selepas sidang media Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya .Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MEI 2021

PUTRAJAYA – Bilangan sekatan jalan raya (SJR) akan ditingkat kepada 800 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan mulai Selasa ini berbanding 600 SJR ketika ini.

Berikutan itu, pegawai dan anggota Polis di-Raja Malaysia (PDRM) yang akan bertugas di SJR juga ditambah kepada 55,000 daripada 37,000 orang untuk tempoh 14 hari pelaksanaan perintah itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selain itu seramai 15,000 anggota agensi lain di bawah KDN juga akan bertuga di lapangan, menjadi jumlah keseluruhan anggota mencecah 70,000 orang.

Katanya, inisitif ini telah diputuskan sebagai langkah sokongan tambahan kepada PDRM bagi memastikan keberkesanaan di SJR.

“Agensi-agensi penguatkuasa keselamatan lain adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk bantu kita dan juga agensi-agensi di bawah KDN iaitu Jabatan Imigresen (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Penjara Malaysia (Penjara) untuk memastikan kita mempunyai anggota yang mencukupi.

“Bagaimanapun, jika sekiranya dalam tempoh dua minggu itu jumlah 70,000 anggota dan pengawai penguatkuasa yang ditambah itu tidak mencukupi atau memadai, kita bersedia melalui PDRM, JIM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kawalan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk menambah lagi anggota,” katanya. di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan PKP penuh Fasa Pertama Sektor Ekonomi dan Sosial.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Hamzah, pemeriksaan mengejut ke atas pengguna jalan raya juga akan dilakukan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Berikutan pelaksanaan PKP penuh, beliau memberitahu, cuti pegawai dan anggota PDRM dibekukan.

Tambah beliau, beliau sedar apa yang dilakukan adalah sesuatu yang telah dimulakan pada awal tahun lalu dan apa yang mahu dilakukan ialah memperketatkan lagi apa yang telah dilaksanakan menerusi pengalaman mengekang penularan Covid-19. – MalaysiaGazette