Dua lelaki yang dalam perjalanan ke Kelantan ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Tol Bentong kerana disyaki memalsukan borang rentas negeri baru-baru ini.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Dua lelaki yang dalam perjalanan ke Kelantan ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Tol Bentong kerana disyaki memalsukan borang rentas negeri baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kedua-dua lelaki berusia 25 dan 34 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur telah memberikan alasan mahu mengambil ahli keluarga di Tanah Merah.

Namun ketika polis memeriksa dokumen perjalanan rentas negeri kedua-dua lelaki terbabit, pihaknya mendapati borang tersebut agak meragukan dan disyaki palsu.

Borang Rentas Negeri yang dipalsukan

“Pada 29 Mei 2021, jam lebih kurang 6.30 petang bertempat di SJR Plaza Tol Bentong menghala Kuantan, pegawai dan anggota bertugas di SJR telah menahan sebuah kenderaan yang dinaiki oleh dua orang lelaki warganegara tempatan.

“Hasil siasatan awal pihak polis juga percaya cop dan tandatangan ketua polis balai yang meluluskan permit tersebut disyaki telah dipalsukan.

“Pegawai yang bertugas telah menghubungi balai polis yang mengeluarkan permit pergerakan untuk pengesahan.

“Manakala semakan di balai mendapati nombor siri pada borang rentas negeri tidak wujud dan tiada sebarang permohonan permit pergerakan keatas kedua-dua lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

NGO termasuk parti politik Pahang sepakat buat laporan polis terhadap Iswardy

Empat sekeluarga maut Perodua Myvi bertembung treler di Bentong

Tambah Zaiham, kedua-kedua lelaki tersebut ditahan untuk siasatan lanjut dan disiasat dibawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM4,000 bagi kesalahan yang dilakukan oleh individu manakala denda RM20,000 pula untuk kesalahan yang dilakukan oleh perbadanan atau syarikat.

Zaiham dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar tidak memalsukan borang rentas negeri yang telah diubahsuai pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas.

“Bagi tahun ini, sehingga 29 Mei sahaja, IPD Bentong telah menahan seramai tujuh orang kerana pemalsuan dokumen borang rentas negeri melibatkan kesemuanya di SJR Tol Bentong arah ke Kuantan.

“Polis Bentong akan terus mengetatkan pemeriksaan di semua sekatan jalanraya antara negeri dalam daerah ini yang melibatkan sempadan Selangor dan sempadan Negeri Sembilan.

“Ianya untuk memastikan penularan wabak Covid-19 di negeri Pahang dapat dikawal memandangkan Tol Bentong adalah merupakan laluan utama ke Pantai Timur khususnya dari Lembah Klang,” ujarnya.- MalaysiaGazette