Gambar yang dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menziarah Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria tiga tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengucapkan takziah kepada keluarga Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Beliau menganggap Harussani sebagai individu berilmu yang sangat disegani.

“Menerima berita pemergian Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan SriĀ  Harussani Zakaria sebentar tadi. Moga keluarganya tabah dan sabar menghadapi dugaan ini,” tulisnya di Facebook.

Zulkifli turut memuat naik gambar ketika beliau menziarahi Mufti Perak itu pada tiga tahun yang lalu.

Katanya, setiap kali ke Perak beliau akan mengambil peluang untuk bertemu dengan Allahyarham untuk memohon doa.

“Moga Allah SWT tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh, disisi-Nya. Sama-sama kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah,” tulisnya lagi.

Harussani, 82, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun selepas seminggu berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas disahkan positif Covid-19.

Allahyarham,dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri serta pusat antaranya Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mufti Perak meninggal dunia