KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa dukacitanya atas ‘pemergian’ Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria.

Katanya, allahyarham telah memberi sumbangan yang besar dalam memperjuangkan dan mengembangkan syiar Islam di negara ini.

Selain itu menurut Muhyiddin, Harussani merupakan seorang pendakwah dan agamawan yang mudah didekati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Justeru beliau menganggap pemergian Mufti Perak itu bukan hanya memberi kesan kepada negeri tersebut malah untuk seluruh rakyat di negara ini.

“Pemergian allahyarham merupakan satu kehilangan kepada dunia dakwah, bukan sahaja buat negeri Perak tetapi kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Sama-samalah kita doakan semoga roh Allahyarham yang sepanjang hidupnya mengabdikan diri untuk memperkasakan Islam ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Perdana Menteri turut berdoa agar keluarga allahyarham tabah menghadapi kehilangan terbesar ini.

Allahyarham dilaporkan meninggal pada 2.45 petang tadi, selepas seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak.

Beliau baru-baru ini, beliau disahkan positif Covid-19.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mufti Perak meninggal dunia