KUALA LUMPUR – Sistem penjagaan kesihatan negara kini berada dalam tekanan yang amat luar biasa sehingga memerlukan tenaga sukarelawan bagi meringankan petugas barisan hadapan menghadapi pandemik Covid-19.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya, ramai sukarelawan bersemangat menawarkan diri untuk bersama para ‘patriot’ Kementerian Kesihatan (KKM) berada di barisan hadapan.
“KKM semalam telah menyeru lebih ramai rakyat Malaysia tampil sebagai sukarelawan kesihatan. Khidmat ini ditagih bagi membantunya memerangi wabak Covid-19 yang semakin mengganas.
“Bagaimanapun, kepada sukarelawan, pastikan anda benar-benar bersedia dan sesuai untuk menggalas tanggungjawab itu sebelum menawarkan diri.
“Persediaan yang diperlukan ialah dari segi tenaga mahupun kesihatan, kerana keselamatan diri juga perlu diutamakan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknyahari ini.
Khamis lalu, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, KKM memerlukan lebih ramai individu tampil menjadi sukarelawan kesihatan bagi menyumbang kepakaran dan tenaga membantu usaha menangani penularan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, tenaga sukarelawan terbabit sangat diperlukan ketika ini untuk meringankan beban petugas kesihatan, susulan lonjakan kes dan kematian akibat wabak itu.
Jelas Ahmad Zahid, kesanggupan para sukarelawan turut serta dalam perjuangan di medan hadapan adalah perbuatan yang mulia dan amat dihargai rakyat di seluruh negara.
“Apatah lagi berkhidmat dalam keadaan pelaksanaan ‘total lockdown’. Semoga Allah merahmati dan melindungi para petugas serta sukarelawan kesihatan kita walau di mana mereka menabur bakti.
“Namun, dalam masa sama KKM perlu memberi insentif sewajarnya kepada sukarelawan dan jika segala kos kesukarelawanan ditanggung sepenuhnya oleh sukarelawan itu sendiri agak tidak munasabah.
“Sekurang-kurangnya sediakan peruntukan untuk mereka menampung kos pengangkutan dan makanan,” katanya. – MalaysiaGazette