KUALA LUMPUR – Malaysia jangan malu untuk belajar dengan negara lain yang berjaya melandaikan lekuk penularan Covid-19.
Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ashraf Rosli berkata, kerajaan tidak perlu berasa malu untuk menukar ‘kiblat’ dalam menangani wabak itu, daripada terus menjadikan India sebagai contoh.
Katanya, India tidak berjaya menangani pandemik Covid-19 menyebabkan negara itu kini hampir lumpuh.
“Kita lihat, dengan sistem yang canggih dan mahal yang digunakan kerajaan Malaysia, sepatutnya proses vaksinasi berjalan lancar, tetapi berlaku sebaliknya apabila keseluruhannya tidak menepati keperluan rakyat dan negara.
“Putra sedih melihat rakyat beratur panjang di luar Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV), yang mana keadaan ini akan menambah lagi risiko untuk dijangkiti virus Covid-19,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Justeru, Asraf mengemukakan cadangan Putra kepada kerajaan agar bekerjasama dengan hospital dan klinik swasta bagi melancarkan proses vaksinasi di PPV.
Katanya, hospital dan klinik itu mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu.
“Bagi Putra, sekiranya vaksin diperolehi di kebanyakan hospital, klinik swasta dan Klinik Kesihatan kerajaan, perkhidmatan memberi suntikan vaksin kepada lebih 12 juta orang yang telah mendaftar dapat diselesaikan dengan cepat.
“Setakat ini, hanya 1,052,145 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin, manakala 1,860,864 individu menerima dos pertama.
“Bersamalah berganding bahu agar 80 peratus rakyat dapat divaksinkan untuk mencapai imuniti kelompok, terutama bagi melindungi anak dan warga emas, di samping menggerakkan semula ekonomi negara yang merudum ketika ini,” katanya.
Kata beliau, apabila kerajaan kaedah itu, kerajaan dapat menggunakan semua sumber dari segi tenaga kerja doktor dan jururawat dengan lebih efektif tanpa terlalu membebankan petugas barisan hadapan yang sedia ada.
Putra berharap, kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan parti itu demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat.
Ashraf turut mengulangi gesaan Putra agar Parlimen perlu bersidang secepat mungkin bagi mencari jalan penyelesaian bagi isu rakyat yang semakin menimbun. – MalaysiaGazette