Orang awam tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila tidak memakai pelitup muka dengan betul ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 02 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 754 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) menerusi operasi pematuhan SOP di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 746 individu dikenakan kompaun, manakala 8 lagi direman.

“Kesalahan tidak memakai pelitup merekodkan kes tertinggi dengan 168 kes, diikuti kegagalan menjaga penjarakan fizikal (145), gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (109), bawa penumpang berlebihan (77) dan 258 lagi adalah lain-lain kesalahan.

“Semalam, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan diketuai PDRM melakukan 68,740 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejumlah 38 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) dengan tujuh buah kenderaan dirampas.

Selain itu, katanya, sebanyak 200 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.

Malah tujuh PATI berjaya diusir menerusi dua aktiviti pengusiran.

Dalam pada itu, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di lima kawasan.

PKPD itu adalah PKPD 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, Stalon, daerah Tanjung Manis, Sarawak apabila 21 kes positif Covid-19 dikesan di kawasan itu.

PKPD Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang dengan 10 kes positif, PKPD Felda Trolak Utara, Mukim Sungkai, Daerah Batang Padang, Perak setelah 16 kes positif dikesan, PKPD Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah dengan 10 kes positif, dan PKPD Jalan Klias 2 dan Jalan Klias 3, Kampung Klias Baru, Beaufort, Sabah dengan 20 kes positif dilaporan.

Kelima-lima PKPD itu bermula Rabu ini sehingga 15 Jun depan.

Dalam pada itu, PKPD 28 Mukim di Kota Setar, Kedah dilanjutkan sehingga 15 Jun depan.

PKPD itu yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan ekoran pengesanan 1,367 kes positif di kawasan itu.

Selain itu, PKPD di dua lokaliti di Kelantan ditamatkan hari ini.

PKPD Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu dan PKPD Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok ditamatkan esok setelah tiada kes baru direkodkan di kedua-dua lokaliti tersebut sejak Sabtu.

PKPD itu sebelum ini direkodkan 47 kes positif Covid-19 dikesan di kedua-dua lokaliti tersebut. – MalaysiaGazette