Rakaman CCTV kejadian 'rompakan' di Kedai Serbaneka MyKampung milik Firdaus Wong yang tular dalam media sosial sejak malam tadi di Shah Alam, Selangor semalam.

SHAH ALAM – Sebuah kedai serbaneka MyKampung Freshmart di sini yang diasaskan seorang pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung bukan dirompak tetapi hanya dikaitkan dengan satu kes penipuan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dakwaan premis di Seksyen 7 di sini dirompak seperti tular di media sosial tidak benar.

Katanya, berdasarkan siasatan awal dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam mendapati tiada sebarang unsur rompakan berlaku.

“Polis telah menerima satu laporan polis daripada juruwang kedai serbaneka berkenaan sekitar pukul 7.15 petang semalam.

Bagaimanapun, siasatan kes diteruskan dari BSJ Komersial IPD  kerana mendapati wujudnya unsur-unsur penipuan dalam kejadian itu.

“Usaha mengesan seorang suspek lelaki yang terlibat dalam insiden ini telah dipergiatkan polis bagi membantu siasatan kes ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun polis tidak memperincikan bagaimana kes penipuan itu berlaku di premis berkenaan.

Tambah Baharudin, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Terdahulu, video dan gambar tular menyatakan kononnya MyKampung Fresh Mart Seksyen 7 telah dirompak seorang individu dengan jumlah kerugian masih belum dikenal pasti.- MalaysiaGazette