KUALA LUMPUR – Dalam keadaan negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh mulai esok, misi penting kerajaan sekarang ialah menjayakan pelaksanaan itu secara berkesan.
Pada masa sama, jangan ada pihak tertentu terus menerus cuba mendoktrinkan kesilapan rakyat semata-mata atas apa yang berlaku, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, rakyat sanggup berkorban demi manfaat yang lebih bermakna di kemudian hari.
“Dalam keadaan sekarang yang penting adalah untuk menjayakan misi total lockdown dan pada masa sama tiada sebab untuk pihak berwajib terlepas pandang bantuan kepada yang memerlukan.
“Kerajaan berpengalaman melaksanakan total lockdown. Sepatutnya telah tahu apa yang sepatutnya diketahui.
“Semua golongan yang memerlukan seperti peniaga kecil, petani, penternak, pekerja sektor swasta dan awam mahupun gelandangan harus berada dalam radar,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Malah, kata Ahmad Zahid, usahawan yang berpremis juga perlu berada dalam pertimbangan kerajaan walau saiz perniagaannya nampak besar.
Ini kerana, memiliki premis bermaksud kos overhead lebih tinggi. Sewa, gaji pekerja, utiliti, loan dan sebagainya.
“Mereka juga perlu dibantu untuk bertahan kerana untung nasib perniagaan berbeza-beza malah membantu mereka secara tidak langsung membantu pekerja mereka daripada hilang pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette