Kerajaan didesak segera memberikan moratorium secara automatik kepada rakyat negara ini sebagaimana yang diberikan pada pelaksanaan PKP 1.0 dahulu.

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak segera memberikan moratorium secara automatik kepada rakyat negara ini sebagaimana yang diberikan pada pelaksanaan PKP 1.0 sebelum ini.

Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Mutalib Uthman berkata, dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (total lockdown) mulai esok, kerajaan seharusnya terus membantu rakyat kerana ia pasti memberikan kesan kepada mereka.

“MUDA desak Menteri Kewangan dan kerajaan memberikan moratorium automatik.

“MUDA turut mendesak bantuan wang tunai sebanyak RM1, 500 untuk golongan B40 dan M40 sebulan untuk tiga bulan, bantuan kewangan atau pinjaman kepada perusahaan kecil, sederhana dan mikro serta subsidi upah untuk perusahaan kecil, sederhana dan mikro untuk tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MUDA turut menggesa kerajaan menyalurkan peruntukan saksama untuk semua ahli Parlimen agar kesemua mereka dapat menjalankan program kebajikan dan vaksinasi kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Pada Jumaat lalu kerajaan  memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.

Menurut Mutalib lagi,  kerajaan perlu segera mengumumkan sebarang bantuan kepada rakyat Malaysia yang semakin terhimpit dengan masalah kewangan ketika pelaksanaan total lockdown esok.

“Tindakan Menteri Kewangan yang diam sahaja sangat mengecewakan kerana tidak mengambil peduli tentang kesusahan dan keperluan rakyat Malaysia.

“Alasan kerajaan tidak ada sumber kewangan lagi tidak boleh digunakan memandangkan perbelanjaan yang besar diperuntukkan untuk Kabinet yang tidak berfungsi dan juga lantikan politik bagi GLC kerajaan untuk mengekalkan kuasa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette