Abdul Hadi Awang PAS GE14 14th General Election Perikatan Nasional Islam Muslim
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik dan memberi sokongan terhadap pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pakej itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan menangani wabak Covid-19 dengan mengutamakan sektor kesihatan agar dapat berfungsi dengan penuh efisen.

Katanya, Muhyiddin juga berusaha gigih meneruskan agendanya menjaga kebajikan rakyat, selain menyokong kelangsungan perniagaan.

“Sejak negara ini dan dunia khususnya dilanda wabak virus Covid-19 setahun lalu, menyaksikan peningkatan kes positif dan kematian yang mendadak dari April lalu,” katanya menerusi Facebooknya.

Malam tadi, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM40 bilion bagi pakej rangsangan Pemerkasa+.

Inisiatif itu, katanya, bagi meredakan cabaran pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat mulai hari ini hingga 14 Jun ini.

Jumlah itu, kata Perdana Menteri, adalah lebihan RM100 bilion daripada RM340 bilion yang diperuntukan bagi pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang dilaksanakan sebelum ini.

Muhyiddin turut dilaporkan berkata, jumlah RM40 bilion itu melibatkan suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion.

Menurut Abdul Hadi, di peringkat Pas, telah melancarkan kempen Kutipan Dana Tabung Bencana Covid-19 bagi membantu rakyat yang terjejas dengan wabak itu.

Beliau menyeru rakyat supaya mendaftarkan diri dan keluarga terdekat untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mewujudkan imuniti berkelompok.

Ahli Parlimen Marang ini juga menyokong sepenuhnya tindakan tiga bulan gaji daripada seluruh jemaah menteri dan timbalan menteri digunakan untuk kebaikan dan kebajikan rakyat yang memerlukan.

“Semoga inisiatif yang diumumkan ini dapat mengurangkan bebanan dihadapi rakyat semasa kita berada dalam suasana PKP bagi mengawal wabak pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast