KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Undang-Undang Pakatan Harapan (JUPH) mengakui pandemik Covid-19 memerlukan tindakan mendesak dan drastik.
Namun, Ahli-ahli Jawatankuasa juga berpendapat tindakan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatasi kedaulatan undang-undang dan hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan bersama JUPH iaitu Ramkarpal Singh, Datuk Mohamed Hanipa Maidin dan Willliam Leong Jee Keen berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan terperinci terhadap enakmen, peraturan, perintah dan arahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) 2021, dan Ordinan 2021 Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No. 2) dan Pencegahan dan Pengendalian Akta Penyakit Berjangkit 1988.
Katanya, pemantauan dan pengawasan itu penting kerana tugas Parlimen sebagai agen semak dan imbang kini sudah pun terhalang berikutan daripada prorogas Parlimen di bawah ordinan tersebut.
Jawatankuasa ini berpendapat lunas undang-undang masih perlu ditegakkan meskipun ketika darurat kesihatan awam, sama seperti ianya tertegak dalam penggunaan kuasa eksekutif luar tempoh darurat.
“Prinsip-prinsip yang menjadi landasan kedaulatan undang-undang antara lain, kesahan, kepastian undang-undang akauntabiliti, akses kepada keadilan, hak kesamarataan, perkadaran dan kewajaran hendaklah bergerak seiring dengan langkah diambil kerajaan untuk menangani Covid-19,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.
Antara perkara penting yang menjadi kerisauan utama JUPH ialah keadaan sentiasa berubah dan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) berbeza dikeluarkan dari semasa ke semasa sehingga menimbulkan kekeliruan dan tidak ditegakkan secara seragam terhadap semua golongan rakyat.
Katanya, kerisauan juga pada hukuman yang amat berat akibat pelanggaran SOP dalam bentuk denda besar dari RM10,000 untuk individu hingga RM50,000 untuk syarikat dan penjara, yang sama sekali tidak sesuai dengan objektif dan sifat SOP tersebut.
“Selain itu, kita juga risau dengan amaran yang dikeluarkan oleh Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) baru-baru yang dianggap tidak adil dan tidak masuk akal bagi pemilik perniagaan premis serta pusat membeli-belah.
“Langkah diambil kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menimbulkan pertanyaan mengenai kesahan mereka, terutama yang tidak dapat dipastikan dan yang bergantung sepenuhnya kepada budi bicara polis atau pegawai kesihatan bagi penguatkuasaan.
“Oleh kerana hukuman pelanggaran SOP ini berat dan serius, JUPH menyeru kerajaan melakukan semakan semula terhadap senarai SOP yang telah pun ditetapkan supaya selari dengan prinsip kedaulatan dan keperluan undang-undang seperti kepastian yang boleh diakses oleh rakyat, difahami, jelas dan adil,” katanya.
Kenyataan itu berkata, SOP yang jelas dan ringkas ditegakkan secara seragam adalah mustahak dan pihaknya berusaha memastikan matlamat tersebut dapat dicapai, terutama memandangkan pengumuman mengenai ‘total lockdown’ di seluruh negara oleh Perdana Menteri.
Akhirnya, kata kenyataan itu lagi, pihak JUPH menzahirkan kerisauan terhadap peningkatan jumlah kematian dalam kes tahanan di negara ini dan maklum balas yang lambat terhadap perkara tersebut oleh Peguam Negara serta Ketua Polis Negara.
JUPH memberi contoh, kes Surendren Shanker, Sivabalan Subramaniam dan A. Ganapathy yang baru-baru ini meninggal dunia ketika dalam tahanan dalam jangka masa kurang dari dua bulan telah menimbulkan persoalan runcing mengenai situasi sebenar berlaku.
“Oleh itu, JUPH akan berusaha menekan pihak berwajib untuk segera melakukan siasatan dan pada masa sama memastikan proses siasatan tersebut dijalankan secara telus,” katanya. – MalaysiaGazette