Anggota polis mengawal keadaan orang ramai yang beratur panjang menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan Vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto HAZROL ZAINAL, 29 MEI 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sistem pendaftaran aplikasi MySejahtera di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) masih tidak menepati piawaian ditetapkan dan didakwa bercelaru.

Ini jelas mengecewakan Pergerakan Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan sikap lewa kerajaan kerana sehingga kini individu yang mendaftar dari awal lagi melalui aplikasi itu masih belum dihubungi untuk mendapatkan tarikh vaksinasi.

Ketuanya, Ros Hanita Mohd Basir berkata, kerajaan perlu memandang serius kerana berjuta individu masih lagi menunggu giliran, sedangkan kadar janji temu untuk divaksinkan amat rendah.

Kata beliau, selain kegagalan sistem pendaftaran, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) juga gagal mengawal susunatur orang ramai yang menerima tarikh janji untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Hasilnya, orang ramai penuh sesak dan keadaan kelam kabut di PPV. Lebih mengecewakan apabila warga emas dan individu yang uzur mengambil masa lama beratur menunggu giliran untuk vaksinasi.

“Apakah pihak yang dipertanggungjawabkan bagi pengurusan vaksinasi ini sudah tepu sehingga tidak boleh berfikir lagi mencari kaedah terbaik untuk dilaksanakan?” soalnya dalam kenyataan  hari ini.

Ros Hanita Mohamad Basir.

Menurut Ros Hanita, Wiranita bersetuju dengan kenyataan bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz supaya kerajaan memandang serius berhubung suasana sesak di PPV.

Ujarnya, kerajaan perlu mencari solusi bagaimana untuk mengatasi dan tidak mengelakkan kesesakan itu, yang boleh mendedahkan mereka dijangkiti virus Covid-19.

“Kita juga bersetuju persoalan dibangkitkan Rafidah, kenapa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tidak menganggotai Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam perlancaran PICK.

“Kerajaan tidak seharusnya membuang masa atau wang ringgit untuk melakukan skala mega dan bersikap realistik bagi menangani perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersolkan kenapa kerajaan mengehadkan PPV dengan kehadiran individu yang ditemu janji untuk vaksinasi pada jumlah tertentu sahaja.

Sedangkan, ujar beliau, kerajaan boleh membuka PPV di setiap Parlimen yang mempunyai hospital, klinik kesihatan kerajaan dan klinik swasta.

“Fasiliti ini boleh digunakan untuk dijadikan PPV ataupun menggunakan dewan bersaiz besar di kawasan itu bagi mempercepatkan setiap rakyat menerima vaksin.

“Kerajaan juga boleh melantik koordinator dengan melibatkan wakil parti politik, tidak kira apa parti dalam Parlimen tersebut untuk membantu urusan pendaftaran oleh KKM.

“Kerajaan juga boleh mengarahkan kakitangan hospital dan klinik swasta untuk menguruskan pemberian vaksinasi kepada 20 atau 25 orang secara serentak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast