Kayu Cengal yang ditebang dari hutan Terengganu.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu didesak supaya tidak menyahwarta hutan simpan Nipah yang berkualiti tinggi dan kemudiannya ditebang habis untuk tujuan pembangunan.

Lebih munasabah jika hutan tersebut dikekalkan sebagai hutan simpanan kekal (HSK).

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata, kawasan-kawasan hutan yang mana pokok-pokok Cengal besar dijumpai harus ditetapkan sebagai kawasan hutan bernilai pemuliharaan tinggi (HCVF), seperti yang dilaksanakan di HSK Pasir Raja.

Menurutnya, setakat tahun 2018, terdapat hanya 37 kawasan HCVF di Semenanjung Malaysia yang jumlah keluasannya adalah 2,670.49 hektar berbanding kawasan HSK yang jumlah keluasannya adalah 4.8 juta hektar.

Ini bermakna kawasan HCVF hanya merangkumi 0.05% daripada keluasan HSK di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, pokok Cengal bersaiz besar harus diberikan status warisan kebangsaan serta habitatnya dilindungi daripada pembalakan dan pembukaan hutan.

Pembalakan dan penggunaan kayu Cengal harus dikawal dengan ketat supaya ia hanya boleh digunakan untuk industri dan tujuan tertentu sahaja misalnya untuk industri seni kayu tradisional.

”Perlu ada ketetapan saiz maksimum pokok Cengal yang boleh ditebang. Pada ketika ini cuma ada saiz tebangan minima iaitu 60 sentimeter diameter paras dada (dbh) dan tiada had maksimum. Adalah disyorkan agar saiz maksimum ditetapkan sehingga 2 meter dbh sahaja, dengan itu hanya pokok Cengal bersaiz 60-200 cm dbh sahaja yang boleh ditebang.

“Hakikatnya, Pokok Cengal yang matang dan bersaiz besar juga berfungsi sebagai pokok ibu untuk mengekalkan sumber biji benih untuk pertumbuhan baru,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian susulan isu lori membawa kayu balak bersaiz besar yang tular dipelbagai media baru-baru ini mendapat perhatian umum serta telah menimbulkan persoalan dan persepsi meragukan.

Bagaimanapun, Jabatan Perhutanan Terengganu mendakwa kayu tersebut telah dikeluarkan dari Kompartmen 80 hutan simpan Sungai Nipah, Kemaman dan adalah difahamkan bahawa kerajaan negeri telah memutuskan supaya kawasan HSK tersebut dinyahwarta untuk tujuan pembangunan.

Hafizudin mendakwa peristiwa ini telah mencetus perbincangan yang hangat di media sosial dan menimbulkan kekhuathiran masyarakat berdasarkan empat faktor utama iaitu spesies balak yang berkenaan iaitu Chengal (Neobalanocarpus heimii), saiz balak tersebut yang sangat besar dan kaedah pengangkutan balak yang disyaki tidak mengikut kaedah sah kerana tidak mempamerkan sebarang papan tanda lesen di belakang lori.

Selain itu, penyahwartaan Hutan Simpan Sungai Nipah

Menurutnya, pengangkutan balak harus mengikut Garis Panduan Pemuatan dan Pengangkutan Kayu Balak oleh JPSM iaitu papan tanda lesen pengusahahasilan hutan hendaklah dipasang / dilekatkan pada permukaan kayu balak terpanjang di bahagian belakang kenderaan pengangkut.

Jika tidak ditunjukkan, maka tidak hairan orang awam boleh mengesyaki ia daripada pembalakan haram.

Kerajaan Negeri Terengganu pula disaran supaya tidak terlalu mengharap kepada hasil daripada pengusahasilan hutan terutama aktiviti pembalakan dan perlombongan (dalam HSK) kerana telah menerima royalti petroleum yang begitu banyak daripada Kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette