Anggota polis mengawal di perkarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy sempena sambutan Thaipusam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang aktivis sosial didakwa hari ini di Mahkamah Sesyen Selayang kerana menyebarkan berita palsu berkaitan dakwaan kehilangan jongkong emas seberat 220kg di Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam Batu Caves tahun lalu.

Tertuduh, Arun Dorasamy, 51, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nur Rajiah Mat Zin hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Arun pada 6 Februari 2020 sekitar jam 4.27 petang telah menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui profil Facebook milik tertuduh secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran palsu dengan niat untuk menyakitkan orang lain.

Kenyataan tersebut juga dengan niat serta sengaja menakutkan umum terutamanya penganut kuil dan dakwaan itu turut dinafikan oleh pengurusan kuil Sri Maha Mariamman.

Arun didakwa kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Arun kemudian dibenarkan diikat jamin RM6,000 oleh seorang penjamin warganegara Malaysia sebelum menetapkan 1 Julai depan bagi sebutan semula kes itu.

Difahamkan pada awalnya ikat jamin sebanyak RM8,000 telah ditawarkan namun tertuduh mohon jumlah tersebut dikurangkan memandangkan situasi pandemik menyebabkan pendapatannya agak terjejas ketika ini.

Selain Arun, seorang lagi tertuduh juga didakwa atas perbuatan sama iaitu Thaneletchumy Raman kerana telah menggunakan aplikasi Whatspp untuk menyebarkan berita palsu kehilangan jongkong emas pada 11 Februari tahun lalu.

Thaneletchumy juga mohon dibicarakan dan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kes tersebut pada 15 Jun tahun lalu dan siasatannya telah selesai bawah Seksyen 500 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi.

“Kita telah serahkan kepada Timbalan Pendakwaan dan kedua-dua suspek telah dituduh pada pagi ini,” katanya ketika dihubungi.

Berita yang disebarkan oleh kedua-dua tertuduh ini sedikit sebanyak menyebabkan rata-rata penganut mula bimbang dan rasa tidak senang lagi-lagi berita kehilangan jongkong emas dalam kuil tersebut.

Pengurusan Kuil Sri Mariamman yang diterajui oleh Tan Sri Nadarajah kemudian tampil mendedahkan berita itu sengaja ditularkan oleh individu berkepentingan untuk memburukkan pentadbiran kuil tersebut dalam kalangan penganut.

Ahli Lembaga Pengarah kuil kemudian telah sebulat suara membuat keputusan membuat laporan polis terhadap individu yang menyebarkan berita palsu dengan tujuan menghasut serta menimbulkan kemarahan umum terhadap pihak pengurusan. -MalaysiaGazette

Harta kuil bukan hak milik sendirian berhad – Nadarajah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast