Seorang penduduk mengambil barangan keperluan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Penara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Penduduk di Pangsapuri Seri Penara, Bandar Seri Permaisuri di sini yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 28 Mei lalu dan mempunyai masalah kesihatan boleh menggunakan perkhidmatan pengkalan perubatan yang disediakan di situ.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pengkalan perubatan itu beroperasi di Dewan Al-Firdaus pangsapuri berkenaan untuk kegunaan seramai 7,000 penghuni di 1,326 unit kediaman di Blok C dan D.

Katanya, kedua-dua blok itu telah dikepung dengan kawat duri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengelak mana-mana individu menceroboh masuk atau meninggalkan kawasan itu tanpa kebenaran bagi melicinkan proses saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan.

Selain Seri Penara, kemudahan sama disediakan di apartmen Landak Permai Sungai Besi membabitkan lima blok merangkumi 5,000 penduduk untuk tempoh PKPD yang sama dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan iaitu KKM, DBKL, Jabatan Kebajikan Masyarakat Angkatan Pertahanan Awam Rela dan Bomba Penyelamat.

Bagaimanapun, katanya, kes-kes yang serius perlu dirujuk ke hospital.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon bercakap pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Penara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2021.”Misalnya ada lebih lima penduduk di sini yang merupakan pesakit dialisis telah dirujuk ke Hospital Ampang yang mana mereka dibawa mengunakan ambulans dan dibawa balik dengan selamat tanpa masalah atau kesulitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir memantau segala proses pengurusan penduduk PKPD oleh pihak berkuasa di pangsapuri itu selaku Komanden Operasi PKPD.

Mengulas mengenai proses saringan penduduk di situ, katanya bagi memastikan segalanya lancar, hebahan akan dibuat secara teratur supaya penduduk tidak turun berama-ramai sehingga menimbulkan kesesakan.

Malah ujar beliau, talian hotline 24 jam yang akan diuruskan enam petugas secara syif turut disediakan untuk penduduk menyalurkan sebarang isu berbangkit.

Ditanya mengenai pengagihan bakul bantuan makanan keperluan asas kepada penduduk berkenaan, Mohamed Mokhsein berkata segalanya diaturkan secara tersusun dan mengikut peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh melihat barangan keperluan yang disumbangkan untuk diserahkan kepada penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Penara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2021.

Ujarnya JKM ada menyusun jadual selang dua hari sekali penerimaan bekalan barang keperluan dari NGO-NGO, supya pihak penghuni boleh mengatur perancangan barang bekalan mereka.

Anggota polis mengawal ketat pergerakan keluar masuk kenderaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Penara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2021.

— MalaysiaGazette