Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

 

Ahli Parlimen Kepala Batas

 

KEPALA BATAS – Majlis Tindakan Pembangunan Pulau Pinang (MTPNg) meminta kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan Projek Tambakan Laut Selatan (PSR) yang kononnya menjana sumber kewangan di bawah Pelan Induk Pengangkutan negeri tersebut.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut meminta kerajaan DAP meneliti suara bantahan yang dilakukan secara konsisten oleh nelayan dan puluhan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sejak beberapa tahun lalu berkaitan projek tersebut.

Tambahnya, sebagai wakil rakyat negeri itu, beliau secara peribadi tidak pernah setuju dengan projek tambakan laut mega tersebut yang kononya bertujuan menjana sumber kewangan bagi membiayai projek pengangkutan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

“Dalam hal ini, saya senada dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar  iaitu menggesa kerajaan negeri agar tidak meneruskan projek PSR.

“Selain itu, bantahan ini pernah disuarakan saya sendiri di Dewan Rakyat pada tahun 2019,” kata Ahli Parlimen Kepala Batas itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Reezal Merican, cadangan projek PSR itu tidak pernah mendapat sokongan penuh rakyat dan ia terbukti apabila 116,000 petisyen dibuat sehingga hari ini untuk membatalkan projek mega terbabit.

“Selain petisyen ‘Selamatkan Pulau Pinang, Bantah Pembuatan Tiga Pulau Jadian’ satu petisyen berkait secara langsung dengan projek PSR turut diterima membabitkan 250,000 pernyataan sokongan.

“Bantahan NGO dan rakyat berkaitan PSR ini dilihat berasas kerana ia memberi kesan kepada alam sekitar, mengancam keselamatan makanan, perubahan aliran air laut selain terdapat dakwaan projek itu tidak diuruskan secara telus dan terbuka untuk nilaian umum.

“Sehubungan itu, sebagai pengerusi MTPNg saya akan membawa suara bantahan ini ke mesyuarat MTPNg serta mengemukan pandangan balas berhubung projek itu kepada kerajaan negeri dalam tempoh masa terdekat.

“Selain itu, saya juga berharap kerajaan negeri akan meneliti segala desakan berhubung projek PSR dengan lebih serius kerana ia mendatangkan banyak keburukan,” ujar Rezal Merican. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast