Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Di sebalik kehilangan enam pemain, Perak FC telah membawa masuk ‘sekumpulan’ pemain baharu dimana ia termasuk beberapa pemain import bagi mengharungi baki sembilan perlawanan lagi.

Kelab itu dalam satu kenyataan di laman sosial berkata, pada jendela perpindahan kali ini, Perak FC tidak melengahkan masa sebaliknya telah bertungkus-lumus bagi mendapatkan pemain-pemain demi keseimbangan dan memantapkan kesinambungan kekuatan pasukan yang sedia ada.”

“Justeru Perak FC ingin memaklumkan bahawa seramai sembilan muka baharu telah didaftarkan dan sedang menanti kelulusan dari pihak MFL bagi menyertai pasukan untuk berganding tenaga dengan pemain-pemain sedia ada bagi meneruskan perjuangan The Bos Gaurus pada baki saingan Liga Super yang bakal bermula tidak lama lagi.

Foto Facebook Perak FC.

“Selain itu, rombakan ke atas skuad  semasa jendela perpindahan kedua ini merupakan kelangsungan penstrukturan semula pengurusan dan pentadbiran yang telah bermula sejak bulan Februari 2021 dan akan berterusan untuk pasukan terus kekal berdaya saing.”

“Melalui langkah-langkah penstrukturan semula ini juga Perak FC berjaya melakukan penjimatan kos sekitar setengah juta ringgit sebulan dan ia amat penting bagi membantu pasukan mengatasi krisis kewangan untuk jangka masa pendek dan panjang,” kata kenyataan itu.

Perak kehilangan tonggak Shahrul Mohd Saad dan Guilherme De Paula ke Johor Darul Ta’zim (JDT), Kenny Pallraj bersama J. Partiban memilih Kuala Lumpur City, Nazirul Naim Che Hashim ‘terbang’ ke Sabah manakala Shakir Hamzah dilaporkan bakal kembali ke Singapura.

Keadaan itu sudah pasti membuatkan para penyokong resah melihatkan seorang demi seorang pemain melangkah pergi tetapi kenyataan rasmi dikeluarkan pengurusan pasukan mungkin sedikit melegakan mereka. – MalaysiaGazette