Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar hairan apabila Menteri Kewangan membuat kenyataan bahawa kerajaan tidak kawal bank.

Lantaran itu, kerajaan tidak boleh melaksanakan moratorium automatik.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, negara hari ini telah diisytihar darurat kerana mahu melawan wabak pandemik dan melindungi rakyat dan di bawah Proklamasi Darurat, kerajaan telah menggantung Parlimen.

Bukan itu sahaja, kerajaan sudah luluskan juga penggunaan wang persekutuan tanpa kelulusan Parlimen.

”Maksudnya apa? Kerajaan boleh buat apa yang dirasakan perlu untuk rakyat pada waktu darurat TERMASUKLAH menyuruh bank membuat moratorium automatik kepada rakyat.

“Takkan itu pun tak boleh? Apa fungsi darurat kalau ini sahaja respons Menteri Kewangan?,” soalnya.

Kata Syed Saddiq, sewaktu kerajaan umum PKP 1.0, bank boleh sahaja laksanakan moratorium penuh kepada rakyat secara automatik.

Tiba-tiba pada PKP 3.0, bank sudah tidak boleh boleh buat lagi secara penuh kerana kononnya kerajaan tak kawal bank.

”Hairan saya. Sekejap kerajaan berjaya buat moratorium penuh, sekejap kata tak boleh sebab tak kawal bank. Adakah rakyat itu hanya susah, lapar dan sakit pada PKP 1.0 dan bukan PKP 3.0 ini?,” tanya beliau lagi.

Menurutnya, bank sebenarnya mampu melakasakan moratorium penuh kepada rakyat kerana semasa PKP 1.0 bank masih merekodkan keuntungan

Pada suku pertama, keuntumgan Maybank naik 16%, CIMB Bank juga naik 384% dan Public Bank (15%).

Untung Hong Leong Bank pula naik 44% dan RHB Bank 14%.

”Jadi apa yang halang bank dari buat moratorium penuh? Untung dapat, duit pun dapat. Malangnya, Menteri Kewangan hanya beri alasan, “Kerajaan tak kawal bank”.

”Selesai. Cuci tangan. Tutup lampu pejabat,” ujarnya. – MalaysiaGazette